Events

08 Aug 2009 -

Majlis Penghargaan “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said”

Majlis Penghargaan “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” dianjurkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Majlis ini dianjurkan bagi mengenang dan menghargai karya serta sumbangan Sasterawan Negara Dato’ (Dr.) A. Samad Said membangunkan bidang sastera kebangsaan, selain bertujuan meraikan menjelangnya 75 tahun usia beliau pada 9 April 2010.

Majlis penghargaan ini diadakan dalam dua acara, iaitu “Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said” pada 8 Ogos 2009 bermula jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang, sebelum kemuncak acara “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” bermula jam 8.00 malam sekali gus melancarkan buku Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map (terjemahan Cinta Fansuri dan Balada Hilang Peta) terbitan terkini ITNM.

“Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said” akan disertai oleh mahasiswa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dan Kolej KDU. Setiap peserta dibahagikan kepada tiga bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman, iaitu terdiri daripada Nam Ron (bengkel seni teater), Sharifah Maswari Syed Bakar & Drew Harris (bengkel seni tampak), dan Taja Meet Uncle Hussain (bengkel seni muzik).

Bengkel ini merupakan usaha untuk merangsang minda generasi muda selain memberikan lebih pendedahan untuk mengadaptasikan beberapa karya Sasterawan Negara keempat (1986) ini. Cara ini juga berfungsi sebagai simbolik ekspresi generasi muda menghargai nilai hasil karya Dato’ (Dr.) A. Samad Said. Hasil bengkel ini akan dapat dipersembahkan di kemuncak acara “Menjelang 75 Tahun Sasterawan Negara Dato’ (Dr.) A. Samad Said” bermula jam 8.00 malam di Auditorium DBP.

Majlis ini menjadi lebih bermakna kerana buku Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map (terjemahan Cinta Fansuri dan Balada Hilang Peta) turut dilancarkan. Acara pelancaran buku terjemahan terkini terbitan ITNM hasil karya Dato’ (Dr.) A. Samad Said ini akan disempurnakan bersama oleh Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd. Khair Ngadiron dan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Termuzi Abdul Aziz di hadapan beberapa Sasterawan Negara, Pemenang Anugerah S.E.A. Write, dan penggiat sastera tanah air.

Selain persembahan hasil daripada “Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said”, pelbagai persembahan puisi turut diadakan. Beberapa penggiat sastera tampil mendeklamasikan dan menyanyikan lagu puisi, antaranya Profesor Rahman Shaari, Nisah Haron, Dr. Chew Fong Pang, SM Zakir, Raja Rajeswari Seetha Raman, Dr. Victor Pogadev, Malim Ghozali PK, Taheera Rosheena Mohamed, Saifullizan Yahaya, Seri Amalina Mohd Khair, dan Dato’ (Dr.) A. Samad Said sendiri.